13 June 2013

Luahan Hati Seorang Remaja Islam


Assalamualaikum Warahmatullah,



Berikut ialah maklum balas yang diberikan oleh seorang rakan rapat saya. Saya rasa pandangan yang diberikan oleh beliau sangat jelas dan ikhlas.


Mungkin pandangan ini mewakili luahan rasa remaja-remaja Islam yang lain?


Assalamualaikum


Saya rasa terpanggil untuk membuat sedikit ulasan mengenai pandangan peribadi saya terhadap kes pemakaian serban di sekolah Malaysia.


Pandangan pertama, mungkin tindakan kerajaan tidak membenarkan pemakaian serban ke sekolah adalah untuk menyeragamkan pakaian sekolah bagi semua murid-murid. Tujuannya adalah supaya mereka nampak lebih kemas.


Kerajaan membenarkan pelajar Sikh memakai serban ke sekolah kerana menyimpan rambut yg panjang dan memakai serban adalah wajib dalam agama mereka. Ini tidak sama seperti agama Islam di mana pemakaian serban adalah tidak wajib. Maka, tidak ada alasan bagi kerajaan untuk tidak membenarkan pemakaian serban bagi pelajar-pelajar Sikh.


Tetapi di sebalik komentar saya di atas, saya juga terfikir mengenai tujuan pemakaian serban itu sendiri. Saya yakin tiga pelajar yang dibuang sekolah itu berniat ikhlas untuk mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Maka, wajarkah kita menghalang perbuatan murni dan suci mereka itu?


Pelajar kita yang tidak menutup aurat dibenarkan. Malahan terdapat pelajar Melayu Islam menyertai pertandingan pasukan sorak sekolah masing-masing. Pemakaian mereka adalah menjolok mata dengan pakaian ketat dan singkat. Ini adalah memalukan dan perkara ini benar-benar meloyakan saya. Mereka melakukan aksi-aksi yang tidak patut dilakukan oleh seorang muslimah. Malah menteri kita juga turut serta memberi sokongan padu kepada aktiviti itu. Begitu juga dengan sukan gimrama, adalah sukan yang tidak patut disertai oleh seorang muslim atau muslimah. Bukannya sukan itu tidak bagus, tetapi kerana etika pemakaiannya yang tidak sesuai dengan etika pemakaian umat Islam. Tetapi kerajaan menggalakkan pula. Apabila tiga orang pelajar mahu memakai serban ke sekolah, mereka dilarang malah lebih teruk lagi dibuang sekolah. Saya mahu tanya apakah hukum orang yang tidak menutup aurat? Jawapannya adalah Haram. Hukum memakai serban adalah Sunat. Apa yang terjadi sekarang? Pelajar yang pakai serban kena buang sekolah tetapi yang pelajar sertai pasukan sorak yang menjolok mata itu mendapat sambutan pula. Memang kita di akhir zaman. Benarlah kata-kata Rasulullah SAW, "Bermula Islam itu asing dan kelak akan kembali asing seperti semula. Maka berbahagialah orang-orang yang terpencil yang tidak banyak kawannya, iaitu orang yang melestarikan sunnahku yang sudah dirosakkan oleh manusia".



Berikut adalah komentar hakim.


‘‘Daripada apa yang saya dapat pastikan, al-Quran tidak menyebut mengenai pemakaian serban. Saya tahu bahawa Rasulullah memakai serban. Tetapi baginda juga menunggang unta, membina rumahnya dan masjid daripada tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi menggunakan sugi." Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamed.


Ada logikalnya dan benarnya di sebalik kata-kata Tuan Hakim itu, memanglah zaman sudah moden dan kita tidak perlu lagi membina rumah daripada tanah liat dan menaiki unta. Lagipun, tidak wujudpun unta di bumi Malaysia ini. Benar, Abu Jahal dan Abu Lahab juga memakai serban dan berjanggut seperti juga Rasulullah SAW juga memakai serban dan berjanggut. Ini tidak menghairankan kerana Rasulullah SAW dibesarkan dalam bangsa Arab yang secara tradisinya memakai serban. Tetapi kita harus ingat bahawa Rasulullah SAW pernah berpesan bahawa ikutilah Al-Quran dan Sunnahku, nescaya kamu tidak akan sesat. Ini menunjukkan betapa pentingnya mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Saya tidak kata kalau tidak pakai serban maka orang itu sesat. Tidak dan tidak sama sekali. Tetapi adalah jelas bahawa pemakaian serban adalah sunnah dalam pemakaian baginda. Saya sendiri tidak berserban dalam kehidupan seharian. Tetapi wajarkah mereka menentang pemakaian serban oleh murid-murid yang mahu mengikuti sunnah Rasulullah SAW? Bagi saya, mereka hanya ingin 'mendekatkan diri' dengan Rasulullah SAW dengan mengikuti pemakaian Rasulullah secara terperinci.


Berikut adalah komentar hakim.


‘‘Pelajar-pelajar itu dilarang memakai serban sebagai sebahagian daripada pakaian seragam sekolah. Mereka tidak dilarang memakainya pada masa yang lain. Malahan, di sekolah, mereka tidak dilarang memakai serban ketika bersolat."


Saya kurang bersetuju dengan kata-kata hakim itu. Saya pernah dilarang memakai serban ketika pergi ke surau sekolah. Jika saya mengetahui awal-awal mengenai kebenaran memakai serban semasa bersolat di sekolah, sudah pasti saya tidak akan berasa takut atau ragu-ragu untuk memakainya. Entahlah, saya kurang pasti mengenai hal ini. Harapan saya adalah kes di sekolah saya itu adalah kes terpencil dan tidak berlaku di semua sekolah.


Lagi komentar hakim.


‘‘Kita tidak boleh ketepikan sistem pendidikan kita yang membantu membentuk minda kanak-kanak Malaysia membesar menjadi rakyat Malaysia. Tokoh-tokoh pendidikan kita perlu diberi pujian dan rasa hormat kerana merangka beberapa peraturan sekolah demi kepentingan semua pelajar, masyarakat dan negara akhirnya."


Saya ada soalan mengenai kata-kata hakim ini yang berasa bangga dengan sistem pendidikan kita. Adakah Tuan Hakim lihat dan perhatikan persekitaran dan kehidupan seharian Tuan Hakim? Adakah remaja kita berakhlak tinggi? Adakah cara umat Islam berfikir mengikut apa yang Islam mahu atau adakah cara mereka berfikir mengikut arus sekularisme dan liberalisme? Apakah ini yang mereka mahukan? Adakah mereka mahu membesarkan anak-anak kita sebagai orang Malaysia atau orang Islam yang benar-benar Islam? Atau Islam hanya pada nama sahaja seperti yang terjadi sekarang?


Pengalaman peribadi.


Saya sangat kecewa dan sedih melihat rakan-rakan sebaya saya yang hidup mereka dikotori dosa-dosa yang jelas. Minum arak dan berzina pun mahu diceritakan dengan bangga kepada orang lain. Namun, siapa yang perlu dipersalahkan? Bagi saya yang paling pertama sekali adalah ibu bapa. Tetapi sistem pendidikan yang Tuan Hakim banggakan itu adakah tidak boleh dipersalahkan? Anda jawab sendiri.


Kita mahukan muslim Malaysia yang berfikiran seperti orang mukmin. Itu yang kita mahukan. Yang berfikiran luas, bijak, mengutamakan persaudaraan sesama Islam mengatasi persaudaraan sesama bangsa. Kita mahukan orang Islam yang sentiasa bercakap mengenai Islam lebih daripada dia bercakap mengenai bangsanya. Itu yang Islam mahukan!

0 ulasan:

Post a Comment