18 June 2013

Kata-Kata Hikmat Al-Ghazali

Hiduplah sebagai mana yang kau sukai tetapi ingat bahawasanya engkau akan mati , cintailah pada sesiapa yang engkau kasihi tetapi jangan lupa bahawasanya engkau akan berpisah dengannya dan buatlah apa yang engkau kehendaki tetapi ketahuilah bahawasanya engkau akan menerima balasan yang setimpal dengannya.
Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca al-quran. tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada ALLAH, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!
Jika berjumpa dengan kanak-kanak – bahawa kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita, kerana kanak-kanak ini belum banyak melakukan dosa daripada kita.
Apabila bertemu dengan orang tua – bahawa dia lebih mulia daripada kita kerana dia sudah lama beribadat.
Jika berjumpa dengan orang alim – dia lebih mulia daripada kita kerana banyak ilmu yang telah mereka pelajari dan ketahui.
Apabila melihat orang jahil – mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka membuat dosa dalam kejahilan, sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui.
Jika melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin satu hari nanti dia akan insaf dan bertaubat atas kesalahannya.
Ku letakkan arwah ku dihadapan Allah dan tanamkanlah jasad ku dilipat bumi yang sunyi senyap. Nama ku akan bangkit kembali menjadi sebutan dan buah bibir ummat manusia di masa depan.
Ilmu yang pertama disebut ilham dan hembusan dalam hati, ilmu yang kedua disebut wahyudan khusus untuk para Nabi.
Kita tidak dapat mengakui bahawa setiap orang yang mengaku beragama itu pasti mempunyai segala sifat-sifat yang baik.
Ibu segala akhlak ialah tempat kebijaksanaan, keberanian, kesucian diri dan keadilan.
Nasehat itu mudah, yang musykil ialah menerimanya kerana ia pahit terasa kepada si hamba hawa nafsu, sebab barang yang terlarang sangat disukainya.
Jadikanlah “kemahuan yang bersungguh-sungguh” itu menjadi mahkota roh, “kekalahan” menjadi belenggu nafsu dan “mati” menjadi pakaian badan, kerana yang akan menjadi tempat diammu adalah kubur, dan ahli kubur setiap saat menunggu, bilakah engkau akan sampai kepada mereka.
Pati ilmu yang sebenar ialah mengetahui sedalam-dalamnya apa erti taat dan ibadat.
Lidah yang lepas dan hati yang tertutup dan penuh dengan kelalaian itu alamat kemalangan besar
Jika nafsu itu tiddak engkau kalahkan dengan jihad yang bersungguh-sungguh, maka sekali-kali hatimu tidak akan hidup dengan bur ma’rifat.
Jika sekiranya sekadar ilmu sahaja telah memadai bagimu, dan tidak ada lagi hajatmu kepada amal di belakang itu, tentulah seruan dari sisi Allah yang berbunyi : “Apakah ada yang memohon? Apakah ada yang meminta ampun? Dan apakah ada yang bertaubat?” itu akan percuma sahaja, tidak ada gunanya.
Janganlah engkau meyimpan harta benda melebihi dari apa yang dibutuhkan. Rasulullah saw. bersabda: “Ya Allah, jadikanlah rizki keluarga Muhammad itu sekadar untuk mencukupi kebutuhan”
Ilmu yang tidak disertakan dengan amal itu namanya gila dan amal yang tidak disertai ilmu itu akan sia-sia.

CABARAN REMAJA HARI INI

Remaja hari ini berhadapan dengan cabaran hidup yang semakin rencam dan menakutkan berbanding kehidupan yang dilalui oleh ibubapa mereka. Peredaran dan perubahan zaman yang semakin cepat menjadikan trend dan kehendak remaja masa kini berbeza-beza serta pelbagai. Apa yang berlaku di Barat umpamanya dengan mudah merebak ke seluruh dunia dengan kecanggihan dan teknologi yang ada hari ini seperti internet, kemudahan ICT dan sebagainya. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kepada banyak pihak kerana globalisasi menjadikan dunia semakin kecil dan segala kemungkinan boleh berlaku jika tidak dipantau dan dikawal sebaiknya.



Di Britain umpamanya ramai gadis muda di sana mengakui mereka mengalami masalah kesihatan mental akibat tekanan supaya membesar lebih cepat daripada masanya. Kajian dilakukan oleh Girlguiding UK mendapati remaja di bawah usia 14 tahun percaya pengaruh majalah, laman web dan rakan-rakan yang memberitahu supaya mereka kelihatan dan bertindak secara seksual menjadikan mereka tidak gembira, malah mendorong sebahagiannya mencederakan diri sendiri dan mengalami masalah pemakanan.

Dua daripada lima gadis yang ditemui berasa diri mereka teruk selepas melihat gambar model atau bintang pop seperti Kate Moss dan Cheryl Cole, dan ramai berasa wajib memakai pakaian yang membuatkan mereka kelihatan lebih berusia, menghilangkan berat badan, mengenakan mekap malah mempertimbangkan untuk menjalani pembedahan plastik. Sementara yang lain berkata, mereka tertekan untuk memiliki wang bagi membeli fesyen terbaru dan peralatan seperti iPod dan telefon bimbit. Senario seperti ini sama ada sedar ataupun tidak sudahpun menular dan berakar di kalangan anak muda sebagai budaya popular dan gerakan liberalisasi Barat di negara kita sejak sekian lama.

Lambakan iklan dan promosi barangan keperluan di TV, internet, majalah dan sebagainya khusus untuk kanak-kanak seperti alat mekap, pakaian dan lain-lain dengan jenama serta harga yang mahal sangat membimbangkan. Ketika ini terdapat iklan di stesen TV tempatan yang menunjukkan bagaimana model kanak-kanak bangga menunjuk dan mempromosikan alat solekan serta pakaian mahalnya. Keadaan ini menjadikan kanak-kanak seolah-olah diajar dan digalakkan menggunakan produk yang tidak perlu ini dan perkara ini sudah tentu akan membebankan ibu bapa dalam keadaan harga barang yang semakin meningkat. Ini adalah kerana pengaruh iklan dan kawan-kawan sangat kuat dan ibu bapa perlu lebih proaktif menerangkan perkara sebenar kepada anak-anak berkenaan keperluan tersebut.

Masalah tekanan emosi yang kian melanda kanak-kanak juga semakin menular dan tidak terkawal. Apa yang berlaku kepada keluarga Sufiah Yusof di United Kingdom (UK) sehingga mengemparkan seluruh dunia umpamanya wajar menjadi iktibar dan membuktikan bagaimana situasi ini boleh berlaku diluar kehendak apabila seorang kanak-kanak terpaksa bersaingan di universiti dalam usia terlalu muda dengan kelompok bukan sebaya yang sudah tentu cukup tertekan dan diluar kemampuan walaupun pada hakikatnya Sufiah adalah seorang manusia yang sangat genius tetapi mungkin tidak matang menempuh kehidupan sebenar sehinggakan membawa beliau ke lembah pelacuran.

Ketua Eksekutif Yayasan Kesihatan Mental Dr Andrew McCulloch, yang menjalankan kajian berkaitan berpendapat gadis dan wanita muda dipaksa membesar pada tahap tidak normal dalam masyarakat dan merosakkan emosi mereka. Semua pihak bertanggungjawab untuk membetulkan keadaan ini dan perlu menangani punca kesukaran yang dihadapi remaja sekarang. Ini adalah realiti yang sedang berlaku di seluruh dunia termasuklah di negara kita apabila anak-anak kecil terpaksa bersaing sama sendiri seawal usia empat tahun dan mereka sudah diajar untuk mencipta kejayaan dan kecemerlangan di dalam peperiksaan dan ujian yang disediakan kepada mereka ketika di taman asuhan dan pusat jagaan lagi.

Keadaan ini sudah tentu ada baik dan buruknya kepada perkembangan anak-anak dan dalam hal ini kita perlu melihatnya secara yang lebih positif. Jika 20 tahun dahulu seorang kanak-kanak boleh membaca seawal usia empat tahun, sudah tentu beliau akan dianggap cerdik dan akan dikerumuni oleh orang ramai, namun hari ini kebolehan membaca, mengira, mengeja, menggunakan komputer dan bertutur dalam pelbagai bahasa ketika usia tersebut adalah perkara biasa dan lumrah. Kanak-kanak hari ini menjadi semakin bijak dengan kemudahan dan sistem pembelajaran berkesan yang disediakan.

Biarpun begitu, dalam sebuah laporan antarabangsa menyatakan kebergantungan kepada komputer dan terlalu sedikit membuat kerja menggunakan tangan boleh menyebabkan kehilangan skil kraftangan dan pakar dalam hal ini memberi amaran keadaan itu mengancam perkembangan intelektual kanak-kanak. Bukti perubatan menegaskan aktiviti praktikal bukan saja berkesan merangsang bahagian otak, ia juga sejenis 'senaman' untuk mengukuhkan kaitan saraf. Untuk itu, ibu bapa dan penjaga dalam hal ini perlu lebih kreatif dan inovatif membantu dan membimbing kanak-kanak menjalani latihan praktikal seperti pertukangan, pemasangan, DIY, berkebun dan sebagainya serta tidak membiarkan anak-anak leka bermain komputer di rumah.

Laporan berkenaan meningkatkan kebimbangan berhubung keghairahan sekolah mengurangkan aktiviti praktikal seperti skil menggunakan kayu, logam, kraftangan dan mekanik. Di rumah pula, kanak-kanak lebih berkemungkinan menekan butang pada papan kekunci atau tetikus daripada menggunakan kotak peralatan kerja. Ada alasan saraf dan kognitif mengapa kanak-kanak perlu berpengalaman menggunakan tangan dalam elemen kehidupan seharian mereka.

Menggunakan tangan didapati menjadikan kanak-kanak lebih pintar menurut pakar psikologi, Dr Aric Sigman yang mendakwa Britain misalnya semakin menjadi 'masyarakat program komputer berbanding pemutar skru' dengan implikasi serius pada ekonomi. Generasi sekarang tidak mampu menangani masalah biasa mekanikal dan mereka nampaknya terlepas beberapa bahagian tertentu perkembangan kognitif kerana tidak pernah memegang sepanar atau memperbaiki enjin yang.


Dalam perkembangan berkaitan di mana dalam satu penyelidikan mendapati kanak-kanak hari ini ketinggalan dalam bahagian penting perkembangan kognitif menjelang usia 11 tahun, manakala kajian selama 30 tahun yang diterbitkan dua tahun lalu mendapati pemahaman kanak-kanak mengenai konsep saintifik utama seperti isi padu, kepadatan, kuantiti dan berat jatuh 'secara drastik' sejak dekad lalu. Profesor Michael Shayer berpandangan persembahan budak berusia 11 tahun pada 1975 dalam pertengahan 1990-an adalah sama, tetapi jatuh menjelang 2004.

Satu kajian lain yang memperincikan bagaimana golongan remaja menghabiskan masa melayari internet dan menggunakan telefon bimbit mendapati lebih seorang daripada setiap 10 kanak-kanak di Britain berbual lucah secara online. Ia menunjukkan bagaimana remaja Britain yang semakin celik teknologi berbanding rakan sebaya mereka di Amerika Syarikat dikatakan selalu berbohong kepada ibu bapa untuk memasuki laman web yang tidak sesuai dengan mereka dan berbual dengan orang asing. Hakikat ini jika tidak dipantau oleh pihak berwajib boleh meracuni pemikiran mereka serta memberi impak negatif kepada proses perkembangan semulajadi kanak-kanak termasuklah di negara kita.

Laporan Mobile Life, menyatakan 11 peratus remaja berusia 11 hingga 18 tahun berbual lucah secara online, manakala 28 peratus mengaku melayari laman web lucah. Ramai berpura-pura melakukan kerja rumah sedangkan mereka melayari internet, dengan 49 peratus mengaku mereka menipu ibu bapa masing-masing mengenai apa yang dilakukan secara online. Laporan yang dikumpulkan hasil tinjauan ke atas 6,000 penduduk, juga menganalisis perbezaan antara remaja Amerika dan Britain, dengan golongan itu di Britain kelihatan lebih sofistikated. Sebagai contoh, 53 peratus remaja Britain berkomunikasi menerusi kamera web, sesuatu yang cuma dilakukan oleh 18 peratus rakan mereka di Amerika.

Realiti seperti ini berkemungkinan besar turut berlaku di kalangan kanak-kanak di Malaysia memandangkan mereka hari ini juga celik dan mesra komputer sejak awal lagi di samping pusat kafe siber yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di seluruh negara memudahkan mereka mengakses kepada benda-benda yang negatif jika tiada sebarang bentuk kawalan dan pemantauan terhadap aktiviti harian mereka dilaksanakan. Oleh demikian, dalam perkara ini aspek etika, akhlak dan didikan agama secara menyeluruh sangat penting yang perlu diberikan penekanan yang sewajarnya sebagai benteng dan bekalan kepada mereka dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

14 June 2013

tidak ku pinta lahir ke duni



Senyumku tak se ghairah,


Gerak gaya tidak se lincah,

Mataku tak se ayu,
Kicau burung pun tak se merdu.

Namun ku punya hati,
Juga gayaku perasaan,
Hidupku yang sebegini,
Kadar waktu diizin Tuhan.

Tidakku minta,
Lahir ke dunia,
Tidakku duga,
Cacat begini,
Bukanku pinta,
Kasih dan sayang,
Bukan ku rayu bantu simpati.

Maafkan wahai teman,
Ku menumpang di sudut dunia,
Mencari ketenangan,
Sampai masa ku pergi jua

13 June 2013

Kata kata hikmah.

1) Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman.

2) Dunia ini umpama lautan yg luas. Kita adalah kapal yg belayar di lautan telah ramai kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.

3) Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.

4) Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi mainan orang.

5) Hati yg terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali kepada bentuk asalnya.

6) Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.

7) Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.

8) Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia dari memberi dengan banyak tapi diiringi dengan riak.

9) Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan.

10) Kata-kata yang lembut dapat melembutkan hati yang lebih keras dari batu.Tetapi kata-kata yang kasar dapat mengasarkan hati yang lunak seperti sutera.

11) Lidah yang panjangnya tiga inci boleh membunuh manusia yang tingginya enam kaki.

12) Agama tidak pernah mengecewakan manusia. Tetapi manusia yang selalu mengecewakan agama.

13) Nafsu mengatakan perempuan itu cantik atas dasar rupanya. Akal mengatakan perempuan itu cantik atas dasar ilmu dan kepintarannya. Dan hati mengatakan perempuan itu cantik atas dasar akhlaknya.

14) Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar dilihat.

15) Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

16) Seseorang yang bijak melahirkan kata-kata selalunya disanjung sehingga ia mula bercakap kosong

17) Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan.

18) Kekayaan bukanlah satu dosa dan kecantikan bukanlah satu kesalahan. Oleh itu jika anda memiliki kedua-duanya janganlah anda lupa pada Yang Maha Berkuasa.

19) Sahabat yang tidak jujur ibarat dapur yang berhampiran. Jikalau pun kamu tidak terkena jelaganya sudah pasti akan terkena asapnya.

20) Mengapa manusia gemar mencetuskan pertelingkahan sedangkan manusia itu sendiri dilahirkan dari sebuah kemesraan.

Luahan Hati Seorang Remaja Islam


Assalamualaikum Warahmatullah,



Berikut ialah maklum balas yang diberikan oleh seorang rakan rapat saya. Saya rasa pandangan yang diberikan oleh beliau sangat jelas dan ikhlas.


Mungkin pandangan ini mewakili luahan rasa remaja-remaja Islam yang lain?


Assalamualaikum


Saya rasa terpanggil untuk membuat sedikit ulasan mengenai pandangan peribadi saya terhadap kes pemakaian serban di sekolah Malaysia.


Pandangan pertama, mungkin tindakan kerajaan tidak membenarkan pemakaian serban ke sekolah adalah untuk menyeragamkan pakaian sekolah bagi semua murid-murid. Tujuannya adalah supaya mereka nampak lebih kemas.


Kerajaan membenarkan pelajar Sikh memakai serban ke sekolah kerana menyimpan rambut yg panjang dan memakai serban adalah wajib dalam agama mereka. Ini tidak sama seperti agama Islam di mana pemakaian serban adalah tidak wajib. Maka, tidak ada alasan bagi kerajaan untuk tidak membenarkan pemakaian serban bagi pelajar-pelajar Sikh.


Tetapi di sebalik komentar saya di atas, saya juga terfikir mengenai tujuan pemakaian serban itu sendiri. Saya yakin tiga pelajar yang dibuang sekolah itu berniat ikhlas untuk mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Maka, wajarkah kita menghalang perbuatan murni dan suci mereka itu?


Pelajar kita yang tidak menutup aurat dibenarkan. Malahan terdapat pelajar Melayu Islam menyertai pertandingan pasukan sorak sekolah masing-masing. Pemakaian mereka adalah menjolok mata dengan pakaian ketat dan singkat. Ini adalah memalukan dan perkara ini benar-benar meloyakan saya. Mereka melakukan aksi-aksi yang tidak patut dilakukan oleh seorang muslimah. Malah menteri kita juga turut serta memberi sokongan padu kepada aktiviti itu. Begitu juga dengan sukan gimrama, adalah sukan yang tidak patut disertai oleh seorang muslim atau muslimah. Bukannya sukan itu tidak bagus, tetapi kerana etika pemakaiannya yang tidak sesuai dengan etika pemakaian umat Islam. Tetapi kerajaan menggalakkan pula. Apabila tiga orang pelajar mahu memakai serban ke sekolah, mereka dilarang malah lebih teruk lagi dibuang sekolah. Saya mahu tanya apakah hukum orang yang tidak menutup aurat? Jawapannya adalah Haram. Hukum memakai serban adalah Sunat. Apa yang terjadi sekarang? Pelajar yang pakai serban kena buang sekolah tetapi yang pelajar sertai pasukan sorak yang menjolok mata itu mendapat sambutan pula. Memang kita di akhir zaman. Benarlah kata-kata Rasulullah SAW, "Bermula Islam itu asing dan kelak akan kembali asing seperti semula. Maka berbahagialah orang-orang yang terpencil yang tidak banyak kawannya, iaitu orang yang melestarikan sunnahku yang sudah dirosakkan oleh manusia".



Berikut adalah komentar hakim.


‘‘Daripada apa yang saya dapat pastikan, al-Quran tidak menyebut mengenai pemakaian serban. Saya tahu bahawa Rasulullah memakai serban. Tetapi baginda juga menunggang unta, membina rumahnya dan masjid daripada tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi menggunakan sugi." Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamed.


Ada logikalnya dan benarnya di sebalik kata-kata Tuan Hakim itu, memanglah zaman sudah moden dan kita tidak perlu lagi membina rumah daripada tanah liat dan menaiki unta. Lagipun, tidak wujudpun unta di bumi Malaysia ini. Benar, Abu Jahal dan Abu Lahab juga memakai serban dan berjanggut seperti juga Rasulullah SAW juga memakai serban dan berjanggut. Ini tidak menghairankan kerana Rasulullah SAW dibesarkan dalam bangsa Arab yang secara tradisinya memakai serban. Tetapi kita harus ingat bahawa Rasulullah SAW pernah berpesan bahawa ikutilah Al-Quran dan Sunnahku, nescaya kamu tidak akan sesat. Ini menunjukkan betapa pentingnya mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Saya tidak kata kalau tidak pakai serban maka orang itu sesat. Tidak dan tidak sama sekali. Tetapi adalah jelas bahawa pemakaian serban adalah sunnah dalam pemakaian baginda. Saya sendiri tidak berserban dalam kehidupan seharian. Tetapi wajarkah mereka menentang pemakaian serban oleh murid-murid yang mahu mengikuti sunnah Rasulullah SAW? Bagi saya, mereka hanya ingin 'mendekatkan diri' dengan Rasulullah SAW dengan mengikuti pemakaian Rasulullah secara terperinci.


Berikut adalah komentar hakim.


‘‘Pelajar-pelajar itu dilarang memakai serban sebagai sebahagian daripada pakaian seragam sekolah. Mereka tidak dilarang memakainya pada masa yang lain. Malahan, di sekolah, mereka tidak dilarang memakai serban ketika bersolat."


Saya kurang bersetuju dengan kata-kata hakim itu. Saya pernah dilarang memakai serban ketika pergi ke surau sekolah. Jika saya mengetahui awal-awal mengenai kebenaran memakai serban semasa bersolat di sekolah, sudah pasti saya tidak akan berasa takut atau ragu-ragu untuk memakainya. Entahlah, saya kurang pasti mengenai hal ini. Harapan saya adalah kes di sekolah saya itu adalah kes terpencil dan tidak berlaku di semua sekolah.


Lagi komentar hakim.


‘‘Kita tidak boleh ketepikan sistem pendidikan kita yang membantu membentuk minda kanak-kanak Malaysia membesar menjadi rakyat Malaysia. Tokoh-tokoh pendidikan kita perlu diberi pujian dan rasa hormat kerana merangka beberapa peraturan sekolah demi kepentingan semua pelajar, masyarakat dan negara akhirnya."


Saya ada soalan mengenai kata-kata hakim ini yang berasa bangga dengan sistem pendidikan kita. Adakah Tuan Hakim lihat dan perhatikan persekitaran dan kehidupan seharian Tuan Hakim? Adakah remaja kita berakhlak tinggi? Adakah cara umat Islam berfikir mengikut apa yang Islam mahu atau adakah cara mereka berfikir mengikut arus sekularisme dan liberalisme? Apakah ini yang mereka mahukan? Adakah mereka mahu membesarkan anak-anak kita sebagai orang Malaysia atau orang Islam yang benar-benar Islam? Atau Islam hanya pada nama sahaja seperti yang terjadi sekarang?


Pengalaman peribadi.


Saya sangat kecewa dan sedih melihat rakan-rakan sebaya saya yang hidup mereka dikotori dosa-dosa yang jelas. Minum arak dan berzina pun mahu diceritakan dengan bangga kepada orang lain. Namun, siapa yang perlu dipersalahkan? Bagi saya yang paling pertama sekali adalah ibu bapa. Tetapi sistem pendidikan yang Tuan Hakim banggakan itu adakah tidak boleh dipersalahkan? Anda jawab sendiri.


Kita mahukan muslim Malaysia yang berfikiran seperti orang mukmin. Itu yang kita mahukan. Yang berfikiran luas, bijak, mengutamakan persaudaraan sesama Islam mengatasi persaudaraan sesama bangsa. Kita mahukan orang Islam yang sentiasa bercakap mengenai Islam lebih daripada dia bercakap mengenai bangsanya. Itu yang Islam mahukan!